Hassan Mahmood - Implikasi Buruk Jika Langgar Aturan Allah

SHAH ALAM, 6 Zulkaedah 1438H, Ahad – Tindakan membenarkan anak tak sah taraf untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, akan menimbulkan pelbagai implikasi buruk pada masa akan datang.

Pendakwah yang juga mantan imam Masjid Negara, Ustaz Datuk Hassan Mahmood al Hafiz, menjelaskan perkara tersebut akan menimbulkan kekeliruan pada masa akan datang berkaitan hukum Islam dalam soal perkahwinan.

Memetik laporan Sinar Online, Ustaz Hassan sebagai berkata, “Kalau anak perempuan atau anak lelaki berbin atau berbintikan individu mendakwa dirinya sebagai bapa, suatu hari ini apabila anak perempuan ini berkahwin, siapa akan jadi walinya? Akan timbul persoalan kenapa lelaki yang dikatakan bapanya tidak dapat menjadi wali. Dalam hal ini, kita risau bukan sahaja berlaku kekeliruan, malah penipuan kelak.

“Begitu juga dengan anak lelaki, kalau yang berbinkan nama bapanya, jika bapa meninggal, dia akan diminta menjadi wali kepada adik perempuannya. Dalam hukum Islam, anak tidak sah taraf ini tidak boleh menjadi wali. Kalau perkahwinan itu berwalikan individu tidak sah taraf, perkahwinan itu tidak sah. Dua situasi ini tidak memperlihatkan kebaikan jika nama anak luar nikah itu berbin atau berbinti nama bapa,” ujarnya, semalam.

Jelas beliau lagi, dari sudut nasab keturunan, anak tersebut tidak mempunyai sebarang pertalian dengan individu yang dikatakan bapanya kerana bukan hasil daripada perkahwinan sah di sisi agama.

“Dari segi hukum, anak perempuan (bukan sah taraf) boleh berkahwin dengan bapa sendiri. Kalau anak perempuan itu berbintikan bapanya, dan mereka berkahwin, apa pandangan orang ramai lebih-lebih lagi bukan Islam. Ia hanya memperlihatkan rendahnya agama Islam kerana seolah-olah membenarkan perkahwinan anak dengan bapa.

“Jangan lakukan perkara-perkara yang boleh timbulkan kekeliruan, salah sangka dan fitnah. Islam telah menetapkan garis panduan. Kenapa kita ambil mudah perkara ini dengan pelbagai alasan logik akal?,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan pihak tertentu yang menyokong keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak yang dikandung luar nikah, dibinkan kepada suami ibunya, Ustaz Hassan berkata, Allah SWT telah meletakkan hukum bagi sesuatu perkara dan ia tidak boleh diubah hanya kerana dunia semata-mata.

“Benar, dalam Islam kita perlu menutup aib sesama manusia, tetapi dalam hal ini saya nak tanya mana lagi besar aib Allah atau aib manusia? Sudah pasti aib ALLAH itu lebih besar.

“Begitu juga dengan hukum ALLAH lebih besar daripada kita nak tutup rahsia buat sementara waktu kerana suatu hari nanti, anak ini akan tahu tentang statusnya,” katanya.

Mengubah aturan (hukum) yang telah Allah tetapkan hanya akan mengundang musibah. Sebijak manapun manusia, tak akan sebanding dengan kebijaksanaan Yang Maha Pencipta, yang menciptakan seluruh alam termasuk diri mereka yang mahu mengubah hak Allah. – Admin

PERINGATAN:

Berita Viral Malaysia (alambiz.com) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.