JAKIM Perjelaskan Isu Viral Babi Mangalitsa

PUTRAJAYA 1 Zulkaedah 1438H, Selasa – Pengguna yang beragama Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak bimbang dan rasa was-was dengan kemasukan daging impot ke Malaysia dengan status halal daging kambing berikutan penularan babi spesis Mangalitsa yang tersebar baru-baru ini.

Adalah dimaklumkan bahawa viral yang tersebar luas baru-baru ini adalah isu sama yang pernah berlaku dan sudah diberi penjelasan pada 16 Februari 2015 lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), semua loji sembelihan halal yang diluluskan telah melalui pemeriksaan ketat sebelum mendapat kelulusan.

“Dalam memberi kelulusan halal, peruntukan di dalam standard MS1500:2009 bagi makanan halal jelas menyatakan bahawa najis babi termasuk keturunannya dan terbitan daripadanya adalah merupakan kategori najis Mughallazah.

“Manakala bagi penggunaan kulit, tulang dan bulu haiwan, standard barang gunaan Islam MS2200-2:2013 menjelaskan bahawa barangan gunaan halal yang bersumberkan bahan berkenaan tidak boleh mengandungi apa-apa bahan yang diperolehi daripada anjing, babi dan keturunannya termasuk juga semua terbitan daripadanya,” jelas JAKIM.

Tambahan lagi, daging kambing atau biri-biri yang diimpot masuk ke Malaysia tidak dibawa masuk dari negara Eropah tetapi dari negara lain yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM.

Sebagai makluman, JAKIM mengesahkan babi spesis Mangalitsa atau Mangalica yang viral itu bukanlah kacukan babi dan biri-biri, ianya adalah spesis babi di Hungary yang merupakan kacukan antara beberapa spesis babi baka Eropah.

Dalam usaha menangani isu kekeliruan halal ini, pihak JAKIM telah memudahkan carian dan rujukan kepada pengguna dengan dikumpulkan keseluruhan jawapan dan penjelasan kepada isu-isu halal yang tular (viral) saban tahun di media sosial melalui pautan ini http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular.

“Dalam memberi kelulusan halal, peruntukan di dalam standard MS1500:2009 bagi makanan halal jelas menyatakan bahawa najis babi termasuk keturunannya dan terbitan daripadanya adalah merupakan kategori najis Mughallazah” – JAKIM

PERINGATAN:

Berita Viral Malaysia (alambiz.com) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.