Keputusan Nekad Pelajar Universiti Langgar Mati Peragut Direman
Gambar daripada Sinar Harian Online

BANGI, 6 Zulkaedah 1438H, Ahad – Seorang pelajar di sebuah universiti tempatan mengambil keputusan nekad merempuh seorang peragut selepas suspek melarikan beg miliknya di sebuah restoran di SP2, Serdang Perdana di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, mangsa dikatakan sedang minum di restoran tersebut sebelum didatangi suspek berusia 25 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, bengang dengan kejadian itu, mangsa mengejar suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Preve.

Mangsa bertindak melanggar motosikal jenis Yamaha Y15z dinaiki suspek menyebabkannya terpelanting ke permukaan jalan.

“Suspek disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala lebih kurang tiga kilometer dari lokasi dia melarikan beg mangsa.

“Kejadian berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat di belakang sebuah pangsapuri di sini,” katanya.

Megat Mohamad berkata, beg kepunyaan mangsa ditemui pada suspek dan hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan satu kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata, pihak polis forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian.

“Mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, kes disiasat bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

“Mangsa ditahan reman di bawah Seskyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi membantu siasatan,” katanya. – Sumber: Sinar Online

P/S: Proses reman adalah prosidur biasa apabila anda terlibat dengan kes berkaitan jenayah (bawah seksyen 117 KAJ) untuk pihak polis melengkapkan siasatan. Ianya bukan satu hukuman. Tahanan reman akan dibebaskan dalam tempoh 24 jam.

PERINGATAN:

Berita Viral Malaysia (alambiz.com) tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.